Sunday, 13 September 2015

PROGRAM RESTU ILMU PRA UPSR 2015

Satu program bertujuan meningkatkan motivasi para pelajar serta memperkukuhkan keyakinan mereka menjelang peperiksaan UPSR yang akan berlangsung pada 8 September 2015. Penyelaras Tahun Enam Puan Rozzalita binti Abdullah dengan kerjasama para pentadbir dibantu oleh guru - guru yang lain telah mengambil inisiatif untuk menyemarakkan keazaman para calon UPSR Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 2 sebelum menduduki peperiksaan yang penuh bermakna itu kelak.

Program berlangsung pada pukul 11 pagi dimulakan dengan ucapan alu - aluan oleh Puan Rozzalita seterusnya diikuti oleh kata - kata pembakar semangat oleh para pentadbir SK Wangsa Maju Seksyen 2. Acara diteruskan lagi dengan sesi bermaaf - maafan serta doa ikhlas memohon kejayaan anak - anak didik SK Wangsa Maju Seksyen Dua sebelum berjuang di medan peperiksaan setelah bertungkus lumus menimba ilmu selama enam tahun di sekolah yang tercinta ini.

Sama - samalah kita para ibu bapa serta guru - guru mendoakan kejayaan anak - anak didik yang dikasihi sekalian. Insha Allah


Guru Besar Puan Norhaniza binti Mohamad Dahalan atau lebih mesra dipanggil ibu menyampaikan kata - kata nasihat serta doa yang menjadi pembimbing kejayaan anak murid yang bakal menempuh UPSR kelak.

GPK Tadbir dan Kurikulum Encik Muzafar Shah bin Mustaffa menyampaikan amanat serta pesan berguna yang bakal menjadi azimat penguat kejayaan anak - anak didik SK Wangsa Maju Seksyen 2.

Puan Guru Besar menyerlahkan sifat keibuannya dalam menaikkan semangat calon - calon UPSR SK Wangsa Maju Seksyen 2 yang tercinta ini.


Penyelaras Tahun Enam Puan Rozzalita memberikan kata - kata semangat buat anak - anak didiknya.

Maafkanlah kami wahai guru - guru penyuluh ilmu.

Sesi bersalam - salaman
Guru guru lelaki tidak ketinggalan memberikan kata - kata perangsang kepada calon - calon UPSR 2015 kali ini.
Semoga Berjaya!!!

Jerebu

Sumber dari: Portal Kementerian Kesihatan Malaysia

Sunday, 26 July 2015

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Kami seluruh warga SK Wangsa Maju Seksyen 2 dengan rasa rendah hati mengucapkan 
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Batin


Friday, 3 April 2015

Enam Topi Pemikiran

Teori Edward De Bono

Berfikir secara selari - menggunakan teknik ~ Enam Topi Berfikir Edward de Bono
Selalu berfikir secara serentak, terlalu banyak yang masuk dalam otak.

Tetapi dengan kaedah pemikiran selari 'parallel thinking' kita melakukan satu cara berfikir sahaja. 

Kaedah ini digunakan oleh jurutera pereka TV warna. Dalam TV warna ada tiga tiub, tiap-tiap satu tiub mengeluarkan warna-warna yang berlainan (RGB). Tetapi pada skrin TV tiap-tiap warna bergabung dan menghasilkan warna-warna yang penuh. Dalam proses percetakan gambar, proses yang serupa juga digunakan. Kaedah enam topi berfikir pun begitu.



Topi-topi berfikir yang diciptakan ialah:

Hijau: Pemikiran kreatif

Hijau otak yang subur dengan idea- gunakan topi apabila berfikir. Sewaktu pakai topi ini jangan peduli sama ada idea itu betul atau salah. Lebih banyak lebih bagus. Idea gila-gila pun tak apa. Pakai topi ini waktu mula-mula berfikir. Situasi sesuai apabila hendak menyelesaikan masalah.

Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.

Kuning : Pemikiran Positif

Lambang pemikiran konstruktif atau membina. Kuning lambang hari cerah. Digunakan untuk mencari faedah dan manfaat daripada apa-apa idea yang diterbitkan oleh topi hijau. Bagi topi kuning semua idea boleh diperbaiki. Tidak ada yang mustahil. Semuanya boleh belaka. Idea yang comot sekalipun boleh digilap. Situasi yang paling baik untuk memakai topi ini ialah apabila mendengar idea-idea yang banyak kelemahan.

Putih : Objektif/Fakta
Lambang pemikiran objektif. Tujuan untuk mencari maklumat semata-mata. Berapa? Siapa? Di mana? Bila? bagaimana? Tidak emosi. Tidak prejudis. Tidak timbul soal suka atau tidak suka. Gunakan Topi ini sebelum membuat keputusan memilih mana-mana alternatif. Topi ini akan memastikan keputusan yang diambil adalah berdasarkan maklumat yang betul

Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.

Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.

Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.


Hitam : Pemikiran Negatif

Lambang pemikiran yang kritikal dan negatif. Hitam lambang malam yang gelap. Segalanya tiada harapan. Apabila memakai topi ini cari semua yang salah, yang gagal, yang silap, yang sukar, yang berisiko dan berbahaya. Topi ini sesuai digunakan untuk menghasilkan pelan kecemasan. Situasi ini sesuai memakai topi, sebelum membuat sebaraang tindakan. Fikirkan apa yang buruk dan yang baik.

Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.

Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

Merah : Intuisi/Emosi
Topi Merah Lambang pemikiran emotif dan nilai. Warna merah lambang ghairah dan nafsu. Topi ini membenarkan kita mengambil kira emosi semasa berfikir. Situasi yang sesuai memakai selepas mengambil semua fakta yang ada.

Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

Biru : Proses
Topi Biru Lambang langit. Topi diatas sekali. Mengawasi topi-topi lain bekerja. Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan.

Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan.


"Thinking is the ultimate human resource. Yet we can never be satisfied with our most important skill. No matter how good we became, we should always want to be better."

"What I am putting forward in this book is a very simple concept which allows a thinker to do one thing at a time. He or she becomes able to separate emotion from logic, creativity from information, and so on."

"The six thinking hats allow us to conduct our thinking as a conductor might lead an orchestra." 


"Six Thinking Hats" by Edward de Bono

Yang manakah warna topi berfikir pilihan anda? Semoga ia dapat membantu kita dalam membuat keputusan atau mengendalikan sesuatu perbualan dan perbincangan apabila menggunakan kaedah 6 topi berfikir ini.
:) Sesuatu yang menarik untuk difikirkan bukan?

VISI DAN MISI KPM

MUTIARA KATA

NILAI ETIKA DAN INTEGRITI GURU

PENJELASAN

 Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu diperjelaskan.

NILAI
 Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
\
ETIKA
 Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.
     
1.  Etika Individu
 Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.

2.  Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.

3.  Etika Profesyen
 Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan, kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.

INTEGRITI
 Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.

1. Integriti Individu
 Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.

2. Integriti Organisasi
 Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
 
3. Integriti Penjawat Awam
 Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.

Kesimpulan
 Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhan


Thursday, 2 April 2015

TEMA HARI GURU 2015

Tema Hari Guru 2015

COMBI

APA ITU COMBI

COMBI adalah singkatan dari Communication for Behaviourial Impact . Program yang di asaskan oleh World Health Organization (WHO) dan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi  untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kearah tingkahlaku yang sihat.
COMBI dibangunkan berasaskan teori-teori perubahan tingkahlaku, komunikasi dan pemasaran. Pendekatan yang menyeluruh lagi fleksibel dalam merancang, melaksana dan memantau tindakan-tindakan mobilisasi social dan komunikasi yang boleh diubahsuai mengikut objektif-objektif tingkahlaku yang telah dipilih.
Bagi melaksanakan program COMBI, lima ( 5 ) prinsip asas yang menggunakan strategi komunikasi secara bersepadu hendaklah diamalkan iaitu;
  • Kerahan Pentadbiran / Perhubungan Awam dan Advokasi
    (Administrative Mobilization / Public Relation / Advocacy)
  • Kerahan Masyarakat (Community Mobilization)
  • Pengiklanan (Advertising)
  • Penyampaian Peribadi/ Komunikasi Interpersonal
    (Personal Selling / Interpersonal Communication)
  • Promosi di Pusat Perkhidmatan (Point-of-Service Promotion)
OBJEKTIF
Matlamat COMBI ialah untuk;
  • Menggerakkan pelbagai sektor komuniti untuk menangani isu denggi dalam komuniti.
  • Mewujudkan tanggungjawab bersama dalam komuniti.
  • Mempengaruhi serta mengukuhkan keputusan/ tingkahlaku/ norma social dalam komuniti.

KUMPULAN SASAR
Projek COMBI merupakan satu pendekatan yang berorientasikan daripada komuniti untuk komuniti. Kumpulan sasar bagi pelaksanaan projek ini adalah berpandukan kepada situasi berikut:

Lokaliti yang pernah berlaku kejadian wabak samaada;
  • Wabak berulang,
  • Wabak tidak terkawal atau
  • Lokaliti wabak
  • Lokaliti yang pernah berlaku kejadian kes
  • Lokaliti yang mempunyai Indeks Entomologi tinggi
  • Lokaliti yang sukarela untuk menubuhkan projek COMBI

Wednesday, 1 April 2015

LINUS

LATAR BELAKANG

1. Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama [National Key Result Areas (NKRA’s)] Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009.
2. Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key Performance Indicator(NKPI) 3.2 KPM iaitu semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.
3. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ini dengan kerjasama semua bahagian dalam KPM. Sehubungan dengan itu, satu program alternatif telah dirangka untuk murid Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap I) yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Projek ini dinamai Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang merupakan penambahbaikan daripada program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang dilaksanakan mulai tahun 2006.
4. Murid berkeperluan khas yang meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria, masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.
RASIONAL
5. Asas literasi dan numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
6. Data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54,000 murid Tahun 1 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi). Data PROTIM tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 48,233 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi) sementara sebanyak 117,000 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas mengira (numerasi).
7. Data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM menunjukkan kadar keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2008 adalah sebanyak 31,939.
8. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi seawal Tahap I. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
DEFINISI KONSEP
9. Definisi LINUS: LINUS ialah akronim bagi “Literacy and Numeracy Screening”. LINUS merupakan program intervensi yang dirangka untuk membolehkan murid memperoleh asas literasi (bahasa Malaysia) dan asas numerasi semasa di sekolah rendah. LINUS disasarkan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
10. Definisi Literasi: Definisi literasi adalah “keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk (dengan menggunakan kata hubung), mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.
MATLAMAT
11. Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid Tahap I sekolah rendah berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi pada akhir tahun 2012 kecuali murid berkeperluan khas.
OBJEKTIF
12. Objektif Program Literasi
Pada akhir Program Literasi murid berupaya:
i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup;
ii. membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup; dan
iii. membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah dengan menggunakan kata hubung ‘dan’.
13. Objektif Program Numerasi:
Pada akhir Program Numerasi murid berupaya:
i. Membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000;
ii. membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh dalam lingkungan 1000 bermula daripada sebarang nombor;
iii. menyatakan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi; dan;
iv. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, menyatakan waktu, ukuran dan sukatan.
KUMPULAN SASARAN
14. Kumpulan sasaran ialah murid Tahap I yang berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas yang mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (Program Pendidikan Khas Integrasi; Masalah Pembelajaran, Masalah Pendengaran dan Masalah Penglihatan) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran), Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM LINUS
15. Makmal NKRA bagi program LINUS telah mengemukakan enam strategi utama LINUS iaitu:
i. melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3;
ii. melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan komprehensif;
iii. meningkatkan kemahiran pedagogi guru;
iv. melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti;
v. menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian; dan

vi. mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.
16. Murid yang telah dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan diajar secara intensif oleh guru LINUS dan guru pemulihan khas LINUS. Murid yang mengikuti program ini akan menduduki Saringan 2 pada bulan Jun dan Saringan 3 pada bulan September (jika perlu).
17. Pemilihan Guru LINUS: Guru yang menjalankan program ini terdiri daripada guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap I dan dibantu oleh Guru Pemulihan Khas.
18. Guru pemulihan khas ditempatkan di sekolah mengikut nisbah murid LINUS tegar. Nisbah guru-murid bagi program ini adalah 1:15 supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada murid berkenaan. Dicadangkan satu jam setiap hari guru pemulihan memberi tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja untuk literasi dan satu jam lagi untuk numerasi.
19. Guru sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik) yang melaksanakan program ini perlu diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.
20. Jadual Waktu: Program LINUS dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu yang sedia ada. Sebanyak 360 minit seminggu diperuntukan bagi Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan dan 270 minit seminggu di Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala 210 minit seminggu bagi Matematik.
21. Pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk menjalankan program ini mengikut kesesuaian waktu dan kemudahan sekolah. Namun, pihak sekolah hendaklah memastikan perlaksanaan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.
22. Kemudahan ICT: Kemudahan ICT yang terdiri daripada komputer dan LCD yang sedia ada di sekolah perlu dimanfaatkan untuk kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
PEMANTAUAN DAN PENYELIAAN
23. Pemantauan dan penyeliaan dilaksanakan di sekolah terpilih iaitu 8 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah rendah. Pegawai yang terlibat terdiri daripada pegawai Bahagian KPM, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Pemantauan ini akan diterajui oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).
24. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di setiap sekolah perlu menyelia Program LINUS dari semasa ke semasa.
25. Satu mekanisme sistem pelaporan untuk memantau kemajuan murid LINUS diadakan. Status penguasaan murid perlu dilaporkan menggunakan sistem yang dibangunkan oleh KPM setiap kali saringan dilaksanakan.
KANDUNGAN PROGRAM
26. Program LINUS menggunakan kurikulum KBSR sebagai asas dalam menentukan skop kandungan pengajaran dan pembelajaran.
27. Kandungan skop kurikulum literasi bermula dengan pengenalan abjad, suku kata, perkataan, frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah seperti dalam Lampiran 1.
28. Kandungan skop kurikulum numerasi merangkumi aspek nombor bermula dari sifar hingga angka 1000, yang melibatkan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi, di samping mengaplikasikannya dalam pengiraan pengukuran seperti dalam Lampiran 2.
BAHAN DAN INSTRUMEN LITERASI DAN NUMERASI
29. Murid yang mengikuti Program LINUS menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap keupayaan murid bagi memastikan kejayaan program ini.
30. Guru digalakkan menyedia dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid dan kreativiti.
31. Instrumen saringan dibina dan diguna pakai untuk menentukan sama ada murid telah menguasai asas literasi dan numerasi. Pembinaaan instrumen saringan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)



Apa itu PBS
 Jawapan :

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

2.      Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?
Jawapan :

Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

3.      Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?
Jawapan :

Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.
  
4.      Bila PBS mula dilaksanakan?
Jawapan :

PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.
  
5.      Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?
Jawapan :

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

6.      Apakah standard prestasi?
Jawapan :

Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

7.      Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Jawapan :

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

8.      Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?
Jawapan :

Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).

9.      Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?
Jawapan :

Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

10.    Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?
Jawapan :

PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.
  
11.    Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?
Jawapan :

Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

12.    Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?
Jawapan :

Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.












Tuesday, 31 March 2015

PEMBELAJARAN ABAD KE 21

                    

Jenis - Jenis Pemikiran


           Terdapat beberapa jenis pemikiran. Jenis-jenis pemikiran ini boleh digalakkan oleh guru di dalam bilik darjah.


1      Pemikiran Mendatar/ Lateral

         Pemikiran lateral juga dikenali sebagai pemikiran analitikal. Ia telah diperkenalkan oleh Dr Edward De Bono. Kepentingan pemikiran mendatar ialah sesuatu masalah perlu dilihat daripada perspektif- perspektif yang berlainan supaya ia mudah untuk diselesaikan. De Bono mengatakan bahawa terdapat empat faktor penting dalam pemikiran mendatar iaitu mengenalpasti idea- idea dominan utama dalam masalah yang dihadapi, melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut yang berlainan, melonggarkan cara- cara pemikira yang terkawal dan menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang lain.

       Tujuan menggunakan teknik pemikiran lateral ialah untuk merangsang pemikiran kreatif khasnya dalam aktiviti sumbangsaran di mana murid-murid dalam setiap kumpulan perlu berhubung dengan satu sama lain. Terdapat 5 jenis teknik pemikiran lateral. Antaranya iaitu perkaitan bebas, konsep “reversal”, kaedah objek fokal, kaedah cabaran dan menganalisa masalah. Bagi teknik perkaitan bebas, ia berlaku dalam proses sumbangsaran di mana terdapat banyak idea- idea bebas untuk murid-murid  mmebentuk kaitan dengan konsep-konsep yang dikaji. Kaedah “reversal” adalah untuk menilai sesuatu keadaan yang biasa secara terbalik. Murid-murid tidak perlu mencari jawapan yang betul tetapi penyusunan maklumat akan menggalakkan mereka untuk melihat cara- cara yang berbeza untuk menilai sesuatu situasi.

     Kaedah objek fokal di mana murid-murid memilih sesuatu objek secara rawak dan mengaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji. Murid-murid mencabar cara- cara atau perkara-perkara yang dilakukan dengan keadaan sedia ada dinamakan kaedah cabaran. Ia menggalakkan konsep pemikiran di luar kotak. Proses memcahkan situasi atau masalah kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dinamakan teknik menganalisa masalah. Seseorang individu perlu melihat cara-cara yang berbeza untuk menyusun sesuatu pola dan menjana alternatif-alternatif berbeza kepada sesuatu masalah.

2       Pemikiran Menegak

      Pemikiran ini juga diasaskan oleh Dr Edward De Bono di mana pemikiran ini menggunakan proses-proses akal yang trdisional untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga dikenali sebagai “ vertical thinking”. Ciri-ciri pemikiran menegak adalah murid-murid mesti betul dan tepat dalam setaip langkah, klasifikasi dan label adaah tetap, seseorang itu mesti betul setiap masa, ia mengikut urutan yang spesifik dan menunpukan kepada apa yang relevan.

            Seseorang individu akan menggunakan pemikiran lateral apabila bergerak dari sesuatu idea tetap kepada proses mencipta idea- idea baru. Guru harus menggalakkan para murid menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dengan pemikiran menegak melalui satu set soalan seperti apakah masalah yang dihadapi, apakah alternatif-alternatif yang terdapat, apakah kebaikan dan keburukan setiap alternatif tersebut, apakah pilihan-pilihan jalan penyelesaiannya dan  adakah jalan penyelesaian yang dipilih itu efektif atau tidak.



3    Pemikiran Kritis
  
Pemikiran kritis berlaku dalam situasi yang memerlukan seseorang membuat keputusan berdasarkan analisis serta penilaiannya terhadap masalah yang dihadapinya. Ia adalah satu bentuk pemikiran yang jelas dan bijak dan melibatkan beberapa kemahiran seperti kemahiran membuat pemerhatian, penilaian dan pertimbangan. Selain itu, pemikiran kritis juga melibatkan kebolehan menganalisis nilai sesuatu idea, data atau maklumat bagi tujuan pemahaman yang jelas dan munasabah terhadap sesuatu perkara ataupun idea. Ia juga boleh dirujuk sebagai satu bentuk pemikiran reflektif.

Pemikiran kritis membenarkan murid-murid mengenalpasti isu-isu yang tidaj selari dengan struktur skema ( cara melihat dunia mengikut pengalaman yang lepas) dan mencari  cara- cara untuk mengubahsuai skema untuk memasukkan maklumat baru atau menolak sesuatu maklumat melalui proses penaakulan. Ciri-ciri murid yang berfikir secara kritis adalah membina kemahiran pemikiran dan penaakulan yang diperlukan untuk menilai maklumat menyelesaikan masalah, menunjukkan pemikiran kritis dan analitikal melalui cabaran aktif dan penglibatan dalam kurikulum, boleh menganalisa hujah,menjana tafsiran, mengenal dan menilai tanggapan dan pandangan mereka sendiri dan orang lain.

Guru-guru boleh menerap kemahiran pemikiran kritis di kalangan murid seperti menggunakan strategi berpusatkan murid, mengurus fakta secara sistematik dan tersusun, memberi soalan- soalan yang lebih sukar kepada murid yang bijak, menggalakkan perbincangan dan aktiviti menyelsaikan masalah, mengarah murid-murid  membanding isi-isi yang kuat dan lemah dan mengarah murid-murid membuat pertalian yang signifikan serta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam dunia sebenar.

     Pemikiran kritis juga memerlukan individu berfikir secara sempurna. Apa yang dimaksudkan sempurna adalah melihat idea ataupun isu itu secara meneyeluruh yang memerlukan penelitian menyeluruh pada idea atau perkara supaya dapat memperolehi kesimpulan atau hujah yang bernas .

4      Pemikiran Kreatif

          Ialah satu jenis pemikiran di mana seseorang dapat memikirkan pelbagai idea baru yang belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang guru yang cekap harus menjana pemikiran kreatif di kalangan murid-muridnya dengan memberikan peneguhan positif dalam bentuk ganjaran dan hadiah apabila murid-muridnya mengeluarkan idea yang unik dan kreatif.

      Guru-guru boleh menyemai kemahiran berfikir secara kreatif dengan cara-cara seperti melatih murid-murid dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan relevan, guru mengemukakan soalan mengikut darjah soalan yang diberikan, soalan latihan yang diberikan bermula dengan soalan mudah dan berakhir dengan soalan sukar, menyediakan soalan lisan secara spontan, guru-guru mesti memupuk semangat ingin tahu dan pemikiran murid dengan soalan yang unik, murid mempunyai kemahiran berfikir di luar kotak dan guru-guru perle memperkenalkan strategi pengajaran seperti penyoalan dan penyelesaian masalah agar menjana pemikirna kreatif.

     Seorang guru perlu menjalankan lebih banyak aktiviti dan strategi pengajaran dan pembelajaran seperti inkuiri penemuan dan kaedah penyelesaian masalah untuk menjana pemikiran kreatif. Selain itu, banyakkan soalan terbuka di dalam bilik darjah dan menerima pelbagai jawapan yanh betul asalkan ia logik dan munasabah. Guru-guru harus memperbanyakkan aktiviti yang menjurus kepada aktiviti sumbangsaran, perbahasan dan debat agar murid-murid dapat melibatkan diri dalam perbincangan intelektual.

5        Pemikiran Divergen

         Ia juga dikenali sebagai pemikiran bercapah. Tujuan utama pemikiran ini ialah untuk murid menjanakan seberapa banyak idea mengenai sesuatu topik dalam satu masa yang ditetapkan. Ia  juga melibatkan kemahiran guru- guru dalam membahagikan sebuah topik kepada unit- unit yang kecil supaya murid- murid dapat menganalisis topik utama secara lebih mendalam. Di dalam proses pemikiran divergen, individu yang berkenaan tidak lagi dikongkong oleh pengetahuan sedia ada, tetapi berfikir secara kreatif untuk mencari cara atau idea baru yang sesuai untuk menyelesaikan masalah yang mempunyai pelbagai jawapan. Pemikiran divergen lebih sesuai digunakan dalam bidang sastera dan humanistik.

           Guru-guru boleh meningkatkan pemikiran divergen dalam pengajaran dan pembelajaran dengan memberikan soalan–soalan bercapah yang menekankan pelbagai jawapan/cadangan/cara penyelesaian. Murid juga diberikan kebebasan dengan menggunakan cara tersendiri untuk menyelesaikan masalah terbuka. Guru perlu menggunakan tenik penyoalan terbuka atau bercapah. Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, strategi pengajaran dan pembelajaran hendaklah menggunakan kaedah kumpulan, kaedah perbincangan dan sumbangsaran agar murid-murid dapat menjana banyak idea.

           Selain itu, guru-guru perlu menggalakkan murid- murid mengeluarkan idea secara kreatif dari diri sendiri. Peranan guru juga dengan mendengar, menerima dan memuji cadangan dan idea yang luar biasa daripada murid untuk menggalakkan pemikiran divergen di kalangan murid-murid.  Senua individu mempunyai keupayaan berfikir secara divergen kerana semua individu mempunyai otak sebelah kanan.

6      Pemikiran Konvergen

     Pemikiran ini telah dicipta oleh ahli psikologi terkenal yang bernama J.P Guilford pada tahun 1967.  Beliau melihat pemikiran konvergen sebagai daya berfikir yang membolehkan seseorang menggunakan pengetahuan sedia ada dengan integrasi logik dan susunan bagi menghasilkan satu idea atau jawapan yang lazim. Penyelesaian masalah dilakukan berdasarkan pengetahuan, pengalaman, peraturan, prinsip,teori, hukum atau rumus yang sedia ada.

      Pemikiran konvergen yang bertumpu ke arah mencari satu jawapan atau satu penyelesaian tertentu adalah dikenali sebagai pemikiran tertumpu atau pemikiran berpandu. Pemikiran ini sesuai untuk mata pelajaran sains, matematik dan teknologi. Soalan-soalan konvergen terdiri daripada soalan- soalan yang dapat menganalisis satu sumber maklumat.Kebiasaannya soalan konvergen bermula dengan perkataan mengapa, bagaimana atau dalam cara apa..?.

       Proses pemikiran yang terlibat dalam menjawab soalan-soalan di atas ialah menerangkan, menyatakan, membandingkan serta membezakan. Guru-guru harus menggalakkan pemikiran konvergen kerana dalam pemikiran ini, murid-murid perlu membuat pilihan daripada banyak jawapan atau respon atau alterntif-alternatif yang berbeza. Murid-murid yang pandai mempraktikkan pemikiran ini ialah merela yang dapat mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai sumber untuk membentuk satu penyelesaian yang betul.

    Terdapat beberapa cara bagi meningkatkan pemikiran konvergen dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya adalah guru memberikan soalan-soalan tertutup yang menekankan satu jawapan atau cadangan atau cara penyelesaian sahaja. Selain itu, guru perlu memberi aktiviti pembelajaran dengan arahan yang jelas, ringkas dan lengkap. Tumpukan pembelajaran kepada perkara-perkara fakta dan teknikal. Teknik penyoalan menggunakan teknik penyoalan tertutup atau berstruktur. Pemikiran konvergen menggunakan kaedah induktif dan deduktif. Soalan-soalan yang diberikan berasaskan hukum, prinsip atau konsep-konsep tertentu demi memperoleh jawapan yang tepat.

7          Pemikiran Reka Cipta

      Pemikiran ini didefinisikan sebagai pemikiran “artistik” di mana individu boleh menunjukkan kemahiran dan bakat. Sifat-sifat individu yang mempunyai kemahiran pemikiran reka cipta yang tinggi adalah seperti mempunyai kemahiran motor yang tinggi, kemahiran yang tinggi dalam dalam berinteraksi dengan orang lain dan boleh mencipta sesuatu yang unik dalam jangka masa yang pendek.

            Pemikiran reka cipta kreatif adalah amat penting bagi subjek seperti seni, pengukiran, kemahiran hidup, kajian tempatan dan sains. Ini berlaku apabila perkembangan perisian di mana murid- murid mesti mengkordinasi pergerakan tangan mereka dengan menggunakan kemahiran motor mereka. Guru-guru boleh memanipulasi kemahiran motor “manipulatives” murid-murid untuk meningkatkan kemahiran reka cipta mereka. “ Manipulatives” melibatkan kordinasi mata dengan apa yang dibuat oleh kemahiran tangan. Ini merangsang perkembangan motor hlus kerana ia memerlukan kemahiran penggunaan tangan terkawal dan otot jari.

        Guru-guru boleh melaksanakan strategi dan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran kordinasi otak dan motor murid-murid mereka. Satu daripada masalah utama yang dihadapi oleh guru-guru adalah mengajar murid-murid yang mempunyai kemahiran motor halus dan kasar yang berbeza-beza di dalam bilik darjah.

8      Pemikiran Celik Akal

       Pemikiran celik akal didefinisikan sebagai pemikiran yang melibatkan gerak hati dan kebijaksanaan. Pemikiran ini juga merujuk kepada kebolehan mental individu untuk menggunakan celik akal yang abstrak untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sedia ada. Pemikiran celik akal berhubungkait dengan memperolehi penyelesaian secara tiba-tiba dalam menyelesaikan masalah seperti yang dikemukakan oleh teori Kohler. Oleh itu, pengalaman ini dikenali sebagai pengalaman ‘Aha’ kerana ia menghubungkait kepada situasi di mana individu-individu mendapatkan penyelesaian kepada sesuatu masalah dengan tiba-tiba dan dalam keadaan yang tidak terancang.

      Pemikiran reka cipta merujuk kepada pengalaman seseorang untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sukar dalam jangka masa yang tertentu. Pengalaman lepas dan kesediaan murid-murid untuk belajar akan membantu mereka untuk mendapatkan penyelesaian kepada masalah mereka secara tepat dan efisien. Dalam pemikiran ini, murid-murid akan mengalami pengalaman baru dan penyelesaian kepada masalah dan juga mendapat pengertian yang mendalam. Mengikut pengertian tersebut, apa yang tidak diketahui dan difahami pada masa lampau akan menajdi jelas dan  mudah kepada seseorang individu.

      Strategi yang dicipta dari pemikiran ini adalah berbeza daripada proses pemikiran  normal. Guru-guru patut menggunakan rangsangan yang sesuai untuk menggalak pemikiran celik akal di kalangan murid-murid mereka dengan menggunakan alat bantuan mengajar seperti kotak teka-teki, radas matematik dan lain-lain. Guru-guru juga mesti memastikan yang mereka memberi penjelasan yang jelas tentang proses-proses dan kaedah-kaedah yang terlibat sebelum mengarah murid-murid mereka untuk menjalankan aktiviti- aktiviti yang menggunakan pemikiran celik akal. Oleh yang demikian, boleh dilihat yang guru memikirkan cara-cara yang berbeza untuk menyemai pelbagai kemahiran berfikir di kalangan murid-murid.

      Teknik-teknik Merangsang Kepelbagaian Pemikiran Murid

Penggabungan pemikiran kreatif dan pemikiran kritis adalah salah satu matlamat penting pendidikan untuk membantu murid-murid. Kedua-dua jenis pemukiran ini adalah penting bagi membentuk seorang pemikir yang seimbang. Murid-murid perlu diterapkan dengan pelbagai kemahiran berfikir untuk membolehkan mereka menjalankan tugasan-tugasan yang tidak dapat diurus oleh mereka sendiri, membawa murid-murid ke tahap pencapaian yang membolehkan mereka menghabiskan tugasan secara sendiri, membolehkan murid-murid mencapai kebolehan berdikari.

    Selain itu, membenarkan murid-murid mengarah pembelajaran melalui pencarian penyelesaian masalah, membantu menjadikan proses pemikiran murid-murid lebih eksplisit. Murid-murid juga boleh membentk hipotesis dan ujian dengan maklum balas serta merta dan membantu dalam perbincangan dengan rakan sebaya.

     Pihak sekolah juga boleh mengambil langkah-langkah untuk menyemai pengajaran kemahiran berfikir dalam konteks kurikulum dan bukan bukan kurikulum seperti pengajaran langsung pemikiran dalam konteks bukan kurikular, penggunaan kaedah-kaedah yang menggalak pemikiran dalam konteks kurikular dan penyusunan pelajaran dengan objektif kemahiran-kemahiran yang spesifik.

         Selain daripada menyemai kemahiran berfikir yang asas, guru-guru juga perlu menyemai kemahiran berfikir tahap tinggi dalam aktiviti kelas seperti pembuatan keputusan dan metakognitif (memikirkan tentang kemahiran berfikir). Guru-guru perlu menerapkan kemahiran berfikir seperti mencari maklumat, perasaan ingin tahu, perasaan mengambil berat, kebolehan membuat refleksi dan membuat penilaian rasional. Guru-guru boleh menyemai kemahiran berfikir di kalangan murid-murid seperti dalam Jadual  2.0  berikut. Justeru itu, guur-guru memainkan peranan penting dalam membantu murid-murid menjadi pemikir yang efektif walaupun mereka memiliki gaya-gaya pembelajaran yang berlainan.

Penyemaian Kemahiran Berfikir
Kaedah Menggalak Kemahiran Berfikir
Menyemai kemahiran berfikir kreatif
Menjana banyak pilihan divergen bagi sesuatu situasi penyelesaian masalah
Menyemai kemahiran berfikir metakognisi
Memantau, menilai dan memandu pemikiran sendiri
Menyemai pemikiran kritikal/konvergen
Menganalisa komponen dam hubungan dalam sesuatu sistem
Menyemai pemikiran divergen
Membandingkan dan membezakan pilihan-pilihan
Menyemai kemahiran berfikir divergen dan penaakulan
Membuat inferens dan pentafsiran dariapada data


      Kepentingan Kemahiran Berfikir

        Kita akan menjadi pemikir yang baik  apabila kita sedar akan pemikiran kit adan berusaha berfikir dengan lebih teliti dan bertanggungjawab terhadap proses pemikiran kita. Kemahiran berfikir amat diperlukan bagi merealisasikan Wawasan 2020 dna hasrat negara. Kejayaan dan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada kebijaksanaan dan kekuatan minda yang dimiliki oleh rakyatnya.

         Kemahiran berfikir amat penting kerana keputusan yang baik adalah hasil daripada proses pemikiran yang baik. Pemikir yang baik perlu menyedari dia sedang berfikir dan sedang menggunakan segala kemahiran-kemahiran berfikir yang diperlukan bagi membuat keputusan yang baik. Latihan berfikir amat diperlukan dalam usaha mencapai hasrat falsafah pendidikan negara iaitu membentuk insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kemahiran ini dapat melatih murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dewasa ini dengan bijak dengan cara menggabungkan segala pengetahuan, pengalaman dan kemahiran berfikir yang diajar atau diperoleh.

            Kemahiran berfikir juga melahirkan individu yang lebih berfikiran terbuka, berkeyakinan serta berani menyuarakan pendapat dan pandangan serta dapat menghasilkan idea yang bernas seiring dengan perkembangan teknologi maklumat. Tidak dapat dinafikan maklumat adalah sumber pengetahuan kepada daya fikir dan dengan ledakan teknologi maklumat ini, guru bukanlah sumber utama pengetahuan kerana pembelajara lebih berbentuk mencapah. Gabungan dariapda dua unsur ini iaitu teknologi dan kemahiran berfikir akan melahirkan murid yang kreatif dan kritis.

      Kesimpulan

Kesimpulannya, guru harus memainkan peranan sebagai pencetus keapda aktiviti kemahiran berfikir di kalangan murid-muridnya. Pelbagai jenis pemikiran perlu didedahkan kepada murid. Pendedahan ini penting agar murid boleh meneliti kecenderungan berfikir yang ada pada dirinya.


Berdasarkan daripada huraian di atas, telah dinyatakan dengan jelas bahawa setiap jenis-jenis pemikiran akan membawa faedah yang tidak ternilai kepada murud-muridnya. Lantaran itu, guru seharusnya berusaha untuk menerapkan cara-cara yang boleh meningkatkan setiap jenis pemikiran tersebut dalam persediaan pengajarannya.
Ujian UKM1 Permata Pintar dan Permata Insan

Sukacita dimaklumkan bahawa saringan pertama pencarian bakat murid pintar cerdas iaitu ujian saringan UKM1 telah bermula dari 1 Februari hingga 31 Mei 2015. Ujian tersebut terbuka kepada semua murid berikut :
a)    Program PERMATA Insan bagi murid berumur 8 tahun dan boleh diakses secara   atas talian di laman web http://permatainsan.usim.edu.my
b)    Program PERMATA Pintar bagi murid berumur 9 hingga 15 tahun dan boleh    diakses secara atas talian di laman web http://ukm1.permatapintar.edu.my
Maklumat lanjut tentang ujian tersebut boleh diperolehi melalui laman web seperti yang tertera di atas.
Sekian, terima kasih
Guru Besar,
Norhaniza bt Mohamad Dahalan