Friday 3 April 2015

Enam Topi Pemikiran

Teori Edward De Bono

Berfikir secara selari - menggunakan teknik ~ Enam Topi Berfikir Edward de Bono
Selalu berfikir secara serentak, terlalu banyak yang masuk dalam otak.

Tetapi dengan kaedah pemikiran selari 'parallel thinking' kita melakukan satu cara berfikir sahaja. 

Kaedah ini digunakan oleh jurutera pereka TV warna. Dalam TV warna ada tiga tiub, tiap-tiap satu tiub mengeluarkan warna-warna yang berlainan (RGB). Tetapi pada skrin TV tiap-tiap warna bergabung dan menghasilkan warna-warna yang penuh. Dalam proses percetakan gambar, proses yang serupa juga digunakan. Kaedah enam topi berfikir pun begitu.



Topi-topi berfikir yang diciptakan ialah:

Hijau: Pemikiran kreatif

Hijau otak yang subur dengan idea- gunakan topi apabila berfikir. Sewaktu pakai topi ini jangan peduli sama ada idea itu betul atau salah. Lebih banyak lebih bagus. Idea gila-gila pun tak apa. Pakai topi ini waktu mula-mula berfikir. Situasi sesuai apabila hendak menyelesaikan masalah.

Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.

Kuning : Pemikiran Positif

Lambang pemikiran konstruktif atau membina. Kuning lambang hari cerah. Digunakan untuk mencari faedah dan manfaat daripada apa-apa idea yang diterbitkan oleh topi hijau. Bagi topi kuning semua idea boleh diperbaiki. Tidak ada yang mustahil. Semuanya boleh belaka. Idea yang comot sekalipun boleh digilap. Situasi yang paling baik untuk memakai topi ini ialah apabila mendengar idea-idea yang banyak kelemahan.

Putih : Objektif/Fakta
Lambang pemikiran objektif. Tujuan untuk mencari maklumat semata-mata. Berapa? Siapa? Di mana? Bila? bagaimana? Tidak emosi. Tidak prejudis. Tidak timbul soal suka atau tidak suka. Gunakan Topi ini sebelum membuat keputusan memilih mana-mana alternatif. Topi ini akan memastikan keputusan yang diambil adalah berdasarkan maklumat yang betul

Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.

Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.

Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.


Hitam : Pemikiran Negatif

Lambang pemikiran yang kritikal dan negatif. Hitam lambang malam yang gelap. Segalanya tiada harapan. Apabila memakai topi ini cari semua yang salah, yang gagal, yang silap, yang sukar, yang berisiko dan berbahaya. Topi ini sesuai digunakan untuk menghasilkan pelan kecemasan. Situasi ini sesuai memakai topi, sebelum membuat sebaraang tindakan. Fikirkan apa yang buruk dan yang baik.

Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.

Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

Merah : Intuisi/Emosi
Topi Merah Lambang pemikiran emotif dan nilai. Warna merah lambang ghairah dan nafsu. Topi ini membenarkan kita mengambil kira emosi semasa berfikir. Situasi yang sesuai memakai selepas mengambil semua fakta yang ada.

Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

Biru : Proses
Topi Biru Lambang langit. Topi diatas sekali. Mengawasi topi-topi lain bekerja. Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan.

Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan.


"Thinking is the ultimate human resource. Yet we can never be satisfied with our most important skill. No matter how good we became, we should always want to be better."

"What I am putting forward in this book is a very simple concept which allows a thinker to do one thing at a time. He or she becomes able to separate emotion from logic, creativity from information, and so on."

"The six thinking hats allow us to conduct our thinking as a conductor might lead an orchestra." 


"Six Thinking Hats" by Edward de Bono

Yang manakah warna topi berfikir pilihan anda? Semoga ia dapat membantu kita dalam membuat keputusan atau mengendalikan sesuatu perbualan dan perbincangan apabila menggunakan kaedah 6 topi berfikir ini.
:) Sesuatu yang menarik untuk difikirkan bukan?

VISI DAN MISI KPM

MUTIARA KATA

NILAI ETIKA DAN INTEGRITI GURU

PENJELASAN

 Nilai, Etika dan Integriti adalah tiga kata kunci terpenting yang mendasari PIN perlu diperjelaskan.

NILAI
 Satu set pegangan yang menjadi asas bagi pembentukan sikap dan kelakuan individu. Set pegangan ini menentukan kriteria perlakuan yang baik atau sebaliknya, yang diingini atau tidak dan positif atau negatif.
\
ETIKA
 Etika ialah himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesyen.
     
1.  Etika Individu
 Etika individu ialah himpunan nilai pada diri individu yang membimbingnya dalam membezakan antara yang benar dan yang salah, yang baik dan yang buruk, yang patut dan boleh dilakukan, serta yang tidak patut dan tidak boleh dilakukan. Pemilihan antara perkara-perkara ini sentiasa berlaku semasa menjalankan tugas, dalam kehidupan sehari-hari, ataupun apabila berinteraksi dengan pihak lain.

2.  Etika Organisasi
Bagi yang bekerja dalam sesebuah organisasi, etika organisasi menjadi garis panduan baginya menjalankan tugas, seperti perlu berpegang pada nilai bersih, cekap, amanah, jujur, benar, telus, bertanggungjawab dan adil. Oleh sebab organisasi berurusan dengan orang ramai, maka etika organisasi juga menuntut penjawat itu mematuhi Piagam Pelanggan.

3.  Etika Profesyen
 Etika profesyen ialah kod yang menggariskan apa yang harus dibuat dan tidak harus dibuat oleh pengamal profesyen berkenaan. Antara profesyen yang mempunyai kod etikanya termasuk kedoktoran, kehakiman, undang-undang, perakaunan, kewartawanan dan perguruan. Misalnya, seorang doktor atau hakim terikat dengan etika profesyen yang dipraktikkannya. Seorang editor, pengarang atau wartawan pula perlu berpegang pada etika kewartawanan dalam penyebaran maklumat melalui media. Begitu juga seorang guru mesti mematuhi etika perguruan.

INTEGRITI
 Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.

1. Integriti Individu
 Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.

2. Integriti Organisasi
 Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.
 
3. Integriti Penjawat Awam
 Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.

Kesimpulan
 Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhan


Thursday 2 April 2015

TEMA HARI GURU 2015

Tema Hari Guru 2015

COMBI

APA ITU COMBI

COMBI adalah singkatan dari Communication for Behaviourial Impact . Program yang di asaskan oleh World Health Organization (WHO) dan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


COMBI merupakan satu pendekatan dinamik yang menggunakan strategi mobilisasi sosial dan komunikasi  untuk mempengaruhi perubahan tingkahlaku dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti kearah tingkahlaku yang sihat.
COMBI dibangunkan berasaskan teori-teori perubahan tingkahlaku, komunikasi dan pemasaran. Pendekatan yang menyeluruh lagi fleksibel dalam merancang, melaksana dan memantau tindakan-tindakan mobilisasi social dan komunikasi yang boleh diubahsuai mengikut objektif-objektif tingkahlaku yang telah dipilih.
Bagi melaksanakan program COMBI, lima ( 5 ) prinsip asas yang menggunakan strategi komunikasi secara bersepadu hendaklah diamalkan iaitu;
  • Kerahan Pentadbiran / Perhubungan Awam dan Advokasi
    (Administrative Mobilization / Public Relation / Advocacy)
  • Kerahan Masyarakat (Community Mobilization)
  • Pengiklanan (Advertising)
  • Penyampaian Peribadi/ Komunikasi Interpersonal
    (Personal Selling / Interpersonal Communication)
  • Promosi di Pusat Perkhidmatan (Point-of-Service Promotion)
OBJEKTIF
Matlamat COMBI ialah untuk;
  • Menggerakkan pelbagai sektor komuniti untuk menangani isu denggi dalam komuniti.
  • Mewujudkan tanggungjawab bersama dalam komuniti.
  • Mempengaruhi serta mengukuhkan keputusan/ tingkahlaku/ norma social dalam komuniti.

KUMPULAN SASAR
Projek COMBI merupakan satu pendekatan yang berorientasikan daripada komuniti untuk komuniti. Kumpulan sasar bagi pelaksanaan projek ini adalah berpandukan kepada situasi berikut:

Lokaliti yang pernah berlaku kejadian wabak samaada;
  • Wabak berulang,
  • Wabak tidak terkawal atau
  • Lokaliti wabak
  • Lokaliti yang pernah berlaku kejadian kes
  • Lokaliti yang mempunyai Indeks Entomologi tinggi
  • Lokaliti yang sukarela untuk menubuhkan projek COMBI

Wednesday 1 April 2015

LINUS

LATAR BELAKANG

1. Y.A.B Menteri Pelajaran, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin telah membentangkan Bidang Keberhasilan Utama [National Key Result Areas (NKRA’s)] Kementerian Pelajaran Malaysia pada bulan Ogos 2009.
2. Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah diamanahkan untuk mengawas, melaksana dan menyelaras Ministry Key Performance Indicator(NKPI) 3.2 KPM iaitu semua murid yang tiada masalah pembelajaran berupaya menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira selepas mengikuti pendidikan tiga tahun di peringkat rendah pada akhir tahun 2012.
3. Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) pula dipertanggungjawabkan untuk menerajui projek ini dengan kerjasama semua bahagian dalam KPM. Sehubungan dengan itu, satu program alternatif telah dirangka untuk murid Tahun 1, 2 dan 3 (Tahap I) yang belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Projek ini dinamai Program Literasi dan Numerasi (LINUS) yang merupakan penambahbaikan daripada program Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) untuk murid Tahun 1 yang dilaksanakan mulai tahun 2006.
4. Murid berkeperluan khas yang meliputi murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, masalah kepelbagaian deria, masalah fizikal, dan terencat akal, kurikulum yang khusus telah dibina.
RASIONAL
5. Asas literasi dan numerasi merupakan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan murid berkomunikasi dan berinteraksi dalam kehidupan seharian serta untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.
6. Data KIA2M pada tahun 2008 menunjukkan sebanyak 54,000 murid Tahun 1 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi). Data PROTIM tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 48,233 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas membaca dan menulis (literasi) sementara sebanyak 117,000 murid Tahun 4 belum menguasai kemahiran asas mengira (numerasi).
7. Data Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM menunjukkan kadar keciciran murid sekolah rendah dan sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2008 adalah sebanyak 31,939.
8. KPM berpendapat satu pendekatan yang bersepadu perlu dilaksanakan untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi seawal Tahap I. Perkara ini perlu diberi perhatian yang serius kerana murid yang belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira merupakan kumpulan yang berisiko keciciran dan berhadapan dengan kesukaran memenuhi keperluan melanjutkan pelajaran dan kerjaya.
DEFINISI KONSEP
9. Definisi LINUS: LINUS ialah akronim bagi “Literacy and Numeracy Screening”. LINUS merupakan program intervensi yang dirangka untuk membolehkan murid memperoleh asas literasi (bahasa Malaysia) dan asas numerasi semasa di sekolah rendah. LINUS disasarkan kepada murid yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
10. Definisi Literasi: Definisi literasi adalah “keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk (dengan menggunakan kata hubung), mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran serta komunikasi harian.
MATLAMAT
11. Matlamat program ini adalah untuk memastikan semua murid Tahap I sekolah rendah berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi pada akhir tahun 2012 kecuali murid berkeperluan khas.
OBJEKTIF
12. Objektif Program Literasi
Pada akhir Program Literasi murid berupaya:
i. Mengeja dan membunyikan suku kata terbuka dan tertutup;
ii. membaca dan menulis perkataan daripada suku kata terbuka dan tertutup; dan
iii. membaca dan menulis serta memahami ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah dengan menggunakan kata hubung ‘dan’.
13. Objektif Program Numerasi:
Pada akhir Program Numerasi murid berupaya:
i. Membaca, menulis, membilang dan menyusun nombor hingga 1000;
ii. membilang dua-dua, lima-lima dan sepuluh-sepuluh dalam lingkungan 1000 bermula daripada sebarang nombor;
iii. menyatakan fakta asas tambah, tolak, darab dan bahagi; dan;
iv. mengaplikasikan pengetahuan operasi asas aritmetik dalam wang, menyatakan waktu, ukuran dan sukatan.
KUMPULAN SASARAN
14. Kumpulan sasaran ialah murid Tahap I yang berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi kecuali murid berkeperluan khas yang mengikuti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (Program Pendidikan Khas Integrasi; Masalah Pembelajaran, Masalah Pendengaran dan Masalah Penglihatan) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan dan Masalah Pendengaran), Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.
STRATEGI PELAKSANAAN PROGRAM LINUS
15. Makmal NKRA bagi program LINUS telah mengemukakan enam strategi utama LINUS iaitu:
i. melaksanakan saringan terhadap murid pada tahun 1, 2 dan 3;
ii. melaksanakan fokus intervensi bagi menyediakan program pemulihan dan komprehensif;
iii. meningkatkan kemahiran pedagogi guru;
iv. melaksanakan program kesedaran tentang pentingnya asas membaca, menulis dan mengira dalam kalangan warga sekolah dan komuniti;
v. menjalankan pemantauan, penyeliaan dan penilaian; dan

vi. mewujudkan jawatan fasiLINUS di Pejabat Pelajaran Daerah untuk membantu guru memastikan murid berupaya membaca, menulis dan mengira.
16. Murid yang telah dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi akan diajar secara intensif oleh guru LINUS dan guru pemulihan khas LINUS. Murid yang mengikuti program ini akan menduduki Saringan 2 pada bulan Jun dan Saringan 3 pada bulan September (jika perlu).
17. Pemilihan Guru LINUS: Guru yang menjalankan program ini terdiri daripada guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik Tahap I dan dibantu oleh Guru Pemulihan Khas.
18. Guru pemulihan khas ditempatkan di sekolah mengikut nisbah murid LINUS tegar. Nisbah guru-murid bagi program ini adalah 1:15 supaya tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada murid berkenaan. Dicadangkan satu jam setiap hari guru pemulihan memberi tumpuan kepada 4 atau 5 orang murid sahaja untuk literasi dan satu jam lagi untuk numerasi.
19. Guru sedia ada (guru Bahasa Malaysia dan guru Matematik) yang melaksanakan program ini perlu diberi latihan khusus dalam teknik pemulihan dan bimbingan untuk menangani murid yang mempunyai masalah literasi dan numerasi.
20. Jadual Waktu: Program LINUS dilaksanakan dalam waktu Bahasa Malaysia dan waktu Matematik mengikut peruntukan waktu yang sedia ada. Sebanyak 360 minit seminggu diperuntukan bagi Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan dan 270 minit seminggu di Sekolah Jenis Kebangsaan, manakala 210 minit seminggu bagi Matematik.
21. Pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk menjalankan program ini mengikut kesesuaian waktu dan kemudahan sekolah. Namun, pihak sekolah hendaklah memastikan perlaksanaan program ini berkesan dan mencapai matlamatnya.
22. Kemudahan ICT: Kemudahan ICT yang terdiri daripada komputer dan LCD yang sedia ada di sekolah perlu dimanfaatkan untuk kegunaan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
PEMANTAUAN DAN PENYELIAAN
23. Pemantauan dan penyeliaan dilaksanakan di sekolah terpilih iaitu 8 peratus daripada jumlah keseluruhan sekolah rendah. Pegawai yang terlibat terdiri daripada pegawai Bahagian KPM, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Pemantauan ini akan diterajui oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK).
24. Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Akademik di setiap sekolah perlu menyelia Program LINUS dari semasa ke semasa.
25. Satu mekanisme sistem pelaporan untuk memantau kemajuan murid LINUS diadakan. Status penguasaan murid perlu dilaporkan menggunakan sistem yang dibangunkan oleh KPM setiap kali saringan dilaksanakan.
KANDUNGAN PROGRAM
26. Program LINUS menggunakan kurikulum KBSR sebagai asas dalam menentukan skop kandungan pengajaran dan pembelajaran.
27. Kandungan skop kurikulum literasi bermula dengan pengenalan abjad, suku kata, perkataan, frasa, ayat tunggal dan ayat majmuk mudah seperti dalam Lampiran 1.
28. Kandungan skop kurikulum numerasi merangkumi aspek nombor bermula dari sifar hingga angka 1000, yang melibatkan operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi, di samping mengaplikasikannya dalam pengiraan pengukuran seperti dalam Lampiran 2.
BAHAN DAN INSTRUMEN LITERASI DAN NUMERASI
29. Murid yang mengikuti Program LINUS menggunakan modul pengajaran dan pembelajaran asas literasi dan numerasi yang sesuai dengan tahap keupayaan murid bagi memastikan kejayaan program ini.
30. Guru digalakkan menyedia dan menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid dan kreativiti.
31. Instrumen saringan dibina dan diguna pakai untuk menentukan sama ada murid telah menguasai asas literasi dan numerasi. Pembinaaan instrumen saringan disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)



Apa itu PBS
 Jawapan :

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan.

PBS dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Komponen PBS terdiri daripada Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum, dan Pentaksiran Psikometrik.

2.      Adakah konsep PBS ini sesuatu yang baru?
Jawapan :

Konsep PBS bukanlah sesuatu yang baru, kerana pentaksiran inilah yang selama ini dilaksanakan oleh guru di sekolah (kerja rumah, projek, kuiz, soal-jawab dan lain-lain). PBS yang dicadangkan ini merupakan penambahbaikan kepada PBS yang telah sedia dilaksana dengan memperkenalkan pentaksiran merujuk standard dan aplikasi Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) untuk membantu guru merekod pencapaian murid secara berterusan.

3.      Kenapa PBS perlu dilaksana sekarang?
Jawapan :

Pelaksanaan PBS adalah seiring dengan program transformasi negara untuk menghasilkan modal insan yang bertaraf dunia.
  
4.      Bila PBS mula dilaksanakan?
Jawapan :

PBS dilaksanakan mulai Tahun 1 pada 2011 dan penambahbaikan UPSR pada 2016, mulai Tingkatan 1 pada 2012 dan penambahbaikan PMR pada 2014.
  
5.      Apakah perbezaan antara PBS dengan pentaksiran sedia ada?
Jawapan :

• PBS adalah lebih holistik dan memberi penekanan kepada kesemua aspek JERI iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek berbanding kepada pentaksiran sedia ada yang lebih memberi penumpuan kepada pencapaian akademik melalui peperiksaan. PBS akan mentaksir proses dan produk secara formatif dan sumatif iaitu mengamalkan konsep assessment for learning dan assessment of learning manakala fokus utama pentaksiran sedia ada lebih kepada pencapaian akademik murid di akhir pembelajaran yang merupakan assessment of learning.

• Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.
Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran merujuk kepada pernyataan standard.

• PBS juga memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah. Ini akan dapat meningkatkan integriti dan kredibiliti profesion perguruan kerana guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi.

6.      Apakah standard prestasi?
Jawapan :

Standard Prestasi merupakan satu pernyataan yang menerangkan tentang pencapaian atau penguasaan seseorang individu dalam sesuatu bidang yang telah dilalui dalam satu tempoh pembelajaran berdasarkan satu penanda aras (benchmark) yang telah dikenal pasti. Standard Prestasi memandu pentaksir bagaimana aktiviti pentaksiran boleh dan dapat dilaksanakan secara adil dan berfokus merujuk kepada standard yang ditetapkan.

7.      Bagaimana penjaminan kualiti PBS dapat dilaksanakan?
Jawapan :

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
• Pementoran
• Penyelarasan
• Pemantauan
• Pengesanan

• Pementoran PBS adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prinsip dan prosedur pelaksanaan yang ditetapkan.

• Pemantauan ialah satu proses untuk mendapatkan maklumat dan memastikan pentaksiran dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan agar mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan.

• Penyelarasan PBS adalah proses penyeragaman skor merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan atau berdasarkan rubrik sesuatu tugasan.

• Pengesanan PBS adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran dalam pelaksanaan PBS.

8.      Bagaimana ibu bapa mendapat maklum balas mengenai perkembangan pembelajaran anak-anak mereka?
Jawapan :

Laporan deskriptif dan formatif dapat dibuat melalui SPPBS pada bila-bila masa sekiranya diperlukan. Sistem ini juga menyimpan maklumat perkembangan murid daripada Tahun 1 hinggalah ke Tingkatan 5 (life-time data base).

9.      Bagaimana hasil pentaksiran berguna untuk murid?
Jawapan :

Maklum balas yang diberi berdasarkan standard prestasi boleh membantu murid mengenalpasti kekuatan, kelemahan, kesilapan dan apa yang perlu dibaiki, bagaimana perlu diperbaiki untuk memberi hasil yang lebih baik.

Maklum balas yang memberi makna boleh membantu murid tentang tujuan dan perkembangan pembelajaran mereka. Keadaan inilah yang memberi motivasi untuk mencuba lagi bagi meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan.

10.    Apakah nilai UPSR dan PMR dalam PBS?
Jawapan :

PBS untuk penambahbaikan UPSR dan PMR masih tetap bernilai dari segi pembentukan modal insan yang holistik tetapi tidak lagi high stake kerana pentaksiran dijalankan secara berterusan dan menyeluruh.
  
11.    Bolehkah pentaksiran yang dibuat guru dipercayai?
Jawapan :

Guru merupakan orang yang paling sesuai untuk mentaksir murid masing-masing kerana mereka:

- boleh memantau perkembangan murid secara berterusan
- boleh memberi maklum balas yang membina untuk penambahbaikan pembelajaran murid
- lebih memahami konteks yang sesuai dengan persekitaran dan perkembangan murid
- mentaksir dan memberi maklum balas berpandukan standard prestasi

12.    Apakah guru sudah bersedia untuk melaksanakan PBS?
Jawapan :

Setiap guru merupakan guru terlatih yang mempunyai asas pengajaran dan pembelajaran tetapi akan diberi pendedahan semula tentang Pentaksiran Berasaskan Sekolah.